Thursday 1 October 2015

Kamu apa khabar?

Salam buat pengunjung yang sudi menjengah. Maaf kerana sudah lama benar membiarkan blog ini sendiri tanpa teman. Bukan sengaja. Aku benar-benar terlalu sibuk meneruskan perjuangan sisa umur yang berbaki dengan mengejar ilmu sehingga tak menyempat singgah ke sini. Setelah hampir 2 ke 3 tahun tidak menulis di ruangan ini jadi ingin kukhabarkan bahawa diriku baik-baik sahaja.

Tiada cacat celanya.

Masih lagi sihat sama seperti dahulu.

Cuma iman aku sahaja yang kadang turun naik. Samalah umpamanya seperti kereta mainan yang ada roda. Kadang berada di atas bukit, kadang berada di tanah rendah. Begitulah lumrah kehidupan yang penuh ranjau ini.

Selesai sahaja pengajianku mengambil peperiksaan SPM di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar, Sepang (Area Bangi), aku memindahkan diri ke sekolah baru di Banting, Selangor untuk menyambungkan pelajaran di peringkat STAM. Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAMTTAR) menjadi sekolah tingkatan enam aku berada di situ. Hampir setahun aku berada di sana mendalami dan mempelajari ilmu STAM. Impianku dari dulu, hendak ambil STAM di sekolah SAMTTAR dimakbulkan Allah.

Di sana, aku memilih untuk tinggal di rumah sewa di sebelah sekolah saja memandangkan di asrama tiada tempat kosong. Kehidupanku belajar di bumi SAMTTAR, meriah. Ustaz-ustazahnya yang baik, rakan-rakan baru yang ramah mesra membuatkan aku terasa begitu bahagia. Belajar dengan ceria.

Rata-rata kebanyakan guru mahupun rakan di sana orang jawa, jadi serba sedikit bahasa jawa aku pelajari dari mereka. Makanan yang dijual di kantin sekolah juga tak lari dari menu makanan jawa. Tempe goreng bersama nasi lemak sambal melimpah antara menu yang paling digilai ramai. Lambat datang, melepaslah jawabnya.

Pernah suatu hari, waktu aku memesan nasi lemak sepinggan kepada mak cik kantin, tanpa sempat aku kata ingin sambal sedikit, mak cik kantin mencedok laju kuah sambal nasi lemak ke dalam pingganku. Tak sempat nak ditepis. Akhirnya aku menatap sayu pinggan nasi lemak aku yang dibanjiri dengan sambal sehingga menutup keseluruhan daripada warna nasi putih. Itulah serba sedikit peristiwa yang tak dapat aku lupakan sepanjang berada di bumi SAMTTAR sana.

Ketika aku berada di tingkatan 6, aku banyak main. Belajar pun sikit. Hafal aku suka, tapi kadang aku pemalas.

Ustaz-ustazah suruh hafal, aku hafal lah sikit.
Hafal penuh pun sekadar hafal. Sekadar nak lulus periksa sahaja.

Rindu zaman STAM jangan sebut. Memang rindu.

Keputusan STAM aku cukuplah untuk sekadar bernafas di angin lalu. Aku mendapat pangkat Jayyid Jiddan. Otak aku dapat menghafal dengan baik, walaupun aku kadang-kadang rasa tak mahu dah nak menghafal. Letih jiwa raga. (Apa yang aku letihkan sangat tah). Masa peperiksaan percubaan STAM, aku lagi sikit nak dapat pangkat rosib. Cukup-cukup makan, dapatlah maqbul.

MUET pula, aku cuma dapat band 3. Taklah sehebat rakan-rakan yang lain. Tapi aku bersyukur Allah masih lagi beri peluang aku belajar mengecapi ilmu-Nya yang luas dan beri aku keputusan yang bagiku cukuplah mememuaskan diriku sebab aku ternyata lemah juga subjek Bahasa Inggeris ini.

Ada yang rindu MUET tak?


Belajar MUET di sekolah, hanya sekali atau dua kali seminggu. Kadang satu jam atau dua jam. Sejak dulu lagi, subjek Bahasa Inggeris antara subjek yang paling aku susah nak skor. Tak tahu kenapa. Nak kata minat, adalah sikit. Nak kata tak suka subjek Bahasa Inggeris, tak juga. Aku masih menempatkan subjek Bahasa Inggeris ke dalam dasar hatiku. Aiwah! Waktu UPSR, B. PMR, A. Naik SPM, keputusan Bahasa Inggeris aku menjunam ke dasar bumi. Terus dapat C. Naik tingkatan 6, barulah tarik nafas lega sikit dapat band 3. Trial MUET aku teruk. Tak payah cerita dapat apa memang aku tak ingat sebab terlampau tercorot.

Kalau dalam objektif tu per-60 soalan, adalah dalam belas-belas yang aku betul. Yang lain, jangan cerita. Salah semua. Entah apa-apa yang aku jawab.

Peperiksaan sebenar MUET waktu cuti sekolah yang bulan 11, bulan 12. Jadi, mama yang bantu dan bagi tunjuk ajar macam mana nak skor subjek MUET ini. Mama suruh aku salin contoh karangan MUET yang bagus-bagus, suruh hafal penanda wacana yang hebat-hebat supaya dalam karangan nanti dapat buat dengan baik. Mama bagi contoh-contoh karangan yang lemah dan yang paling bagus, baca dan bandingkan, macam-macam. Aku ikuti sahaja apa yang mama suruh. Bagiku, ini mungkin cara terbaik untuk aku skor subjek MUET dan Alhamdulillah Allah izinkan aku lulus subjek MUET ini. Berbanyak-banyak syukur dan rasa terharu sampai nak menangis teringatkan jasa mama yang sangat banyak membantu. Mama yang tolong semakkan kesalahan grammar aku dan sebagainya.

Kemudian setelah tamat pengajian di tingkatan 6, aku menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Sudah masuk tahun 2 aku di sini. Ramai rakan-rakanku yang ambil stam sama-sama menyambung pelajaran ke luar negara. Pernah juga terfikir nak sambung belajar di Mesir, tapi bila memikirkan,

“Ah tak sanggup aku berjauhan dengan mama ayah,” jadi aku matikan saja niatku ini.

Belajar dekat-dekat sudahlah bagiku.
Nak tengok mama ayah pun senang.

Terpulang, yang penting belajar sampai habis. Jangan sampai sekerat jalan. Rugi gais umur yang ada dan di peringkat masih muda, tak digunakan dengan sebaik mungkin. 

Takut menyesal tak sudah-sudah.

Pesanan aku, nakkan sesuatu usaha sungguh-sungguh. Buat latihan banyak kali. Mana ada orang hidup tak pernah gagal. Mula daripada bawah. Doa banyak-banyak. Minta restu ibu ayah inshaAllah Allah permudahkan.

Sekian dulu.

Shahirah Surbani